Sunday, October 11, 2009

Bukan Makhluk Luar Biasa

Artikel ini saya terbitkan semula tanpa kebenaran lisan mahupun tulisan dari penulis sebenar dengan nama pena 'lakijiwang'. Memandangkan artikel ini telah diterbitkan dalam majalah Eh! Edisi Oktober 2009, maka tiada sebarang larangan untuk saya menerbitkan entry ini. Saya rasalah. hahaha.

Buat 'lakijiwang' - di mana jua anda berada, artikel anda sungguh jujur dan ikhlas. Besarlah harapan saya agar anda menulis lebih banyak artikel sebegini dan kurangkan meroyan. demi kemaslahatan bersama haha.

Terimalah artikel menusuk kalbu...........

Bukan Makhluk Luar Biasa

Barangkali sebab kenapa aku tidak punya isteri sehingga sekarang ialah kerana aku ini tidak romantis, bahasanya biasa-biasa, penampilannya cukup makan, lawaknya kasar dan lucah, pendek kata aku ini lelaki biasa. Iya, lelaki biasa yang ditakdirkan Tuhan mahu kepada wanita cantik-cantik (subjektif), pandai bergaya, sopan dan seksi (sangat subjektif), yang kalau dihitung-hitung secara logik matematiknya dengan penampilan dan peribadi aku yang biasa tidak mungkin akan ketemu wanita luar biasa.

Ah, di atas cuma andaian, dalaman aku boleh sahaja menjadi romantik luar biasa kalau kena waktunya, boleh sahaja mengubah penampilan kalau kena tempatnya, boleh sahaja bercakap dengan gaya gentelman dan beradab kalau aku mahu. Pendek kata, luaran yang menjadi ukuran orang itu tidak mungkin sama dengan dalaman diri. Tetapi, wanita suka yang luaran itu, yang boleh sahaja berjanji setia tanpa logik dan rasional, yang boleh ber-sms atau menelefon setiap malam tanpa jemu (bukan semua wanita ya, kebanyakkan wanita yang aku temui). Itu hakikat bukan, wanita itu suka dipuji bagai tuan puteri tanpa hujung pangkal dan suka diberi janji setia tanpa logik pertimbangan masa depan.

Bekas teman wanita aku pernah menangis dan merajuk bila aku katakan jodoh di tangan Tuhan, aku tidak boleh berjanji lebih-lebih tentang masa depan. Katanya aku tidak serius! pening kepala aku mahu memujuk, sifatnya aku begitu, kalau tidak pasti usah berjanji lebih-lebih. Benar, kita boleh merancang warna baju hari perkahwinan, berapa ramai orang anak, nama anak-anak, dan semua perkara daripada sebesar nya tentang jumlah hantaran kepada sekecil perkara bentuk kerongsang di baju pengantin. Tetapi ,jadinya aku ini lelaki yang selalu berpijak di bumi nyata, tentu sekali meletakkan klausa pengecualian jika hubungan itu tidak menjejak pelamin dan bahagia hingga akhir hayat. bukan merancang untuk tidak setia, tetapi merancang untuk masa depan. malah, sungguh kalau aku sudah jutawan (aku bilang, kalau) aku mahu sahaja buat perjanjian sebelum kahwin mengenai harta. Dunia sekarang macam-macam boleh jadi, lafaz cinta dan janji manis sahaja tidak pernah cukup.

Tetapi kata kawan wanita aku seorang ini, wanita itu suka perkara yang kecil-kecil, ia lambang kasih sayang dan cinta. sms dan telefon setiap malam itu satu kewajiban. Ucapan sayang berbaur hindustan versi Titanic itu perlu sentiasa ada. Kalau boleh setiap hari ingin ketemu, setiap saat perlu tunjukkan bukti merindui, setiap detik wajar tunjukkan setia tanpa belah bahagi.Hatta, melihat lenggok wanita yang kebetulan lalu saat ber-dating itu hukumnya tidak boleh dimaafkan. Makanya, apa cinta dan kasih itu adalah satu proses weak inductive reasoning bagi wanita? kalau begitu, lelaki hanya perlu berlakon sms kata rindu ketika bersama wanita lain, menelefon sebelum keluar rumah untuk ketemu wanita lain, taip baris-baris ayat indah yang boleh sahaja difikirkan dalam masa terpantas sebelum mata (hatta, hati) menjeling wanita lain? Mungkin generelisasi umum, tetapi adakah ini menefistatsi percintaan bagi wanita? sungguh, aku tidak punya jawapan.

Kerana bagi aku yang bukan makhluk luar biasa ini, yang tegar untuk memelihara individualiti aku dalam proses penggabungan jiwa, aku sukar sekali untuk bertindak begitu. aku suka masing-masing punya ruang untuk diri sendiri. Iya, kita boleh bercerita dan bermimpi tetapi kaki harus berpijak di bumi nyata. Barangkali terlalu banyak kisah cinta luar biasa yang ditonjolkkan dalam filem dan drama, kita ubah manefistasi cinta itu jadi komoditi dalam hubungan. Kalau benarlah ini yang terjadi, sampai ke tua aku tidak mungkin beristeri.

Aku selalu katakan kepada orang sekeliling, bahawa kisah cinta dalam era reflexive modernity ini sudah layaknya jadi komoditi yang boleh di niagakan. Fantasi dan mitos tentang hubungan cinta itu diwar-warkan oleh pelbagai pihak, malah ada pakar yang menggariskan tanda-tanda kita dikasihi atau tidak. Maka keluarlah pelbagai teori yang meletakkan semua hubungan itu dalam konteks tawar-menawar. kalau lelaki tidak telefon, dia tidak sayang; kalau perempuan tidak senyum, dia tidak suka (sekadar contoh). Aduh, semudah itu hubungan cinta itu diletakkan tanda aras sewajarnya bagaimana lelaki dan wanita itu perlu bertindak. Cinta juga diniagakan dalam pelbagai bentuk, dilebih-lebihkan dalam filem dan drama (cuba beritahu aku, siapa orang di sekeliling anda yang kisah cinta mereka seperti Winter Sonata atau paling kurang NurKasih), di berikan nilai yang sebenarnya mengarut (jika cintakan dia, lepaskan dia pergi; teori karutan!), dan pelbagai tanda aras hubungan ( Ikut fakta sains dan sebagainya, yang keputusan nya sangat meragukan). Maka, ramailah kita mahu jadi luar biasa dalam hal cinta, mahu berkorban, mahu mengalah, mahu bersama renangi laut api dan pelbagai lagi aksi-aksi lagak ngeri yang tidak langsung masuk akal.

Maka aku sebenarnya mahu bercinta seadanya, kurangkan prosa-prosa klasik jiwang, berpijak di bumi nyata, bersedia menghadapi masa hadapan dan sejujurnya memelihara individualiti dalam berpasangan. Silap jika dakwa aku (dan lelaki-lelaki lain yang biasa-biasa) tidak romantik, kami juga bisa jadi romantik dalam cara tersendiri. Sesekali hasrat romantik itu ada, cuma dikekang oleh rasa poyo dan malu. Galakkan kami, jangan paksa. Kami juga mahu bermanja, cuma mungkin kerana ego maskulin, kami tunggu sehingga benar-benar selesa. Lelaki-lelaki macam kami ini, yang untuk meluahkan cinta pun mengambil masa bertahun, kerana mahu benar-benar pasti. Lelaki yang kamu selalu lihat di luar sana, yang selekeh, yang matanya liar memandang wanita, yang gurauannya kasar dan berbaur sexist, yang nampak tidak pernah ambil peduli tentang dunia kecuali dirinya, yang bekerja siang dan malamnya melepak bersama kawan-kawan di kedai mamak (atau pub). Lelaki-lelaki ini yang merungut setiap kali di ajak membeli belah, yang jika menonton bola tidak hiraukan dunia keliling. Lelaki ini yang minatnya pada enjin dan mesin. Lelaki-lelaki jenis ini yang banyak di luar sana, yang nampak biasa itu.

Kenali dulu mereka, ada sebilangan mereka pemikir falsafah tentang hidup yang ajaran Aristoltle, Plato, dan Nietzsche paling kurang dihujung jari, yang boleh berdebat tentang idealisme politik dan hedonimse hiburan. Lelaki-lelaki ini yang dalam diam tahu juga PRADA dan GUCCI, cuma tidak sedia menghabiskan gaji dan berlapar perut untuk berbelanja jenama, lelaki-lelaki ini yang dalam diam sedar dan sokong feminisme walau mereka enggan mengaku, lelaki-lelaki ini yang membaca Bukowski, Kafka atau paling kurang Pramoedya Ananta Toer, lelaki-lelaki ini bersepah di luar sana yang boleh memberikan kamu kepuasan intelek dan emosi rasional dan bukannya prosa-prosa jiwang picisan, dan paling penting meletakkan dunia cinta di bumi nyata.

Mereka ini bukan makhluk-makhluk luar biasa dalam arena cinta takrifan sekarang, kerana mereka tegar dengan ideologi dan prinsip rasional masing-masing. Kan kamu kata, Normal Is Boring!

ps: mode hidung kembang kuncup. Tak payah tau kenapa. haha

2 comments:

  1. "Lelaki yang kamu selalu lihat di luar sana, yang selekeh, yang matanya liar memandang wanita, yang gurauannya kasar dan berbaur sexist, yang nampak tidak pernah ambil peduli tentang dunia kecuali dirinya, yang bekerja siang dan malamnya melepak bersama kawan-kawan di kedai mamak (atau pub). Lelaki-lelaki ini yang merungut setiap kali di ajak membeli belah, yang jika menonton bola tidak hiraukan dunia keliling. Lelaki ini yang minatnya pada enjin dan mesin."

    angah sedang bertunang dgn laki cengginie..cara utk bersabar (jgn marah n tarik muke masam) bile die pandang pompuan len adalah dgn cara memandang laki yg ensem dan ckp.."awk tgk sebelah kiri..ensem siott"..walaupun telinge belah kanan kene piat tp sekurang-kurangnya pastu die x pandang pompuan cun belah kanan... :D

    ReplyDelete
  2. hahahaha..garangnya bulan!
    yer angah, tektik angah berjaya! =)

    ReplyDelete